Wednesday, May 16, 2012

Hari Istimewa Untukmu para guru

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia..

sempena 16 Mei, tanggal keramat bagi guru-guru di Malaysia
dimana pengorbanan mereka selaku pendidik di  hargai oleh anak murid dan segenap lapisan masyarakat di Malaysia.

Sajak Guru oh Guru

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi
(dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta) 
 
Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Nukilan : USMAN AWANG 1979

p/s - saya, Ahmad Shazali Mhd Shah dengan ini melahirkan rasa penuh penghargaan kepada semua bekas guru dan pendidik yang pernah dan sedang mengajar saya. Jutaan terima kasih saya hulurkan kepada anda kerana dengan bimbingan anda semua, maka saya lahir menjadi manusia yang berguna kini. TERIMA KASIH CIKGU!!! 

dengan hamparan terima kasih saya hulurkan kepada guru-guru di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II Kuala Terengganu; Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Selayang, Selangor; Sekolah Kebangsaan Sungai Rokam, Ipoh; Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat, Ipoh; Kolej Matrikulasi Melaka; Politeknik Sultan Idris Shah, Sabak Bernam; Universiti Malaysia Sabah, Universiti Kebangsaan Malaysia.

jika IBU adalah permata hatiku,
dan BAPA adalah sumber ilhamku,
maka GURU adalah penyuluh hidupku

 SEKIAN, TERIMA KASIH
TEGUH SETIA BERSATU

No comments:

Post a Comment

Ini adalah laman peribadi saya, anda berhak komen tapi jangan mengharapkan balasan komen dari saya..sekian